Monday, September 22, 2025

Cerita Pendek 3 | Hantu Bas


Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman seram adik saya.

Waktu itu adik saya berumur sekitar 10–11 tahun. Dia selalu tolong mama beli barang di kedai runcit yang terletak betul-betul di seberang jalan rumah. Kadang-kadang saya temankan, kadang-kadang saya tunggu saja di pagar rumah.

Hari itu mama minta dia beli sardin dalam tin untuk makan malam. Waktu lebih kurang pukul 5 atau 6 petang. Mama sempat bertanya:

“Berani ka pergi seorang? Nak kakak teman?”

Adik saya jawab:

“Tak apa, saya ok ja.”

Saya pun tunggu dia di pagar rumah.

Memerhati dari jauh.

Di tepi jalan, adik saya berdiri sambil menunggu bas lalu supaya dia boleh menyeberang. Bas datang perlahan, bunyi enjinnya bergema di senja yang sunyi.

Tiba-tiba… adik saya terhenti. Matanya tepat memandang ke bahagian belakang bas.

Di situ, ada seorang perempuan duduk kaku. Rambutnya panjang menutupi bahu, wajahnya pucat. Tubuhnya… seperti bayangan tembus, samar-samar.

Bas bergerak perlahan.

Dan ketika itu ,kepala perempuan itu berpusing perlahan-lahan… 360 darjah!

Mata kosongnya tepat memandang ke arah adik saya.

Adik saya sangat terkejut, terus berlari sepantas yang boleh ke arah rumah.

Saya yang menunggu di pagar nampak dia pucat, nafas tercungap-cungap. Saya tanya kenapa, tapi dia cuma tarik tangan saya masuk ke dalam.

Di ruang tamu, sambil menangis dia ceritakan semuanya kepada mama.

Malam itu rumah kami sunyi. Tak ada siapa yang berani keluar ke kedai lagi.

Sejak hari itu, kalau adik saya mahu membeli barang pada waktu petang, saya pasti akan temankan dia ,kerana bayangan perempuan di dalam bas itu masih menghantui kami hingga kini.



No comments:

Post a Comment